Pages

Monday, March 25, 2013

Buletin MSSM 2013

Izzah ratu gimrama

IZZAH dengan pingat emas yang dibolot dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS), baru-baru ini.


KEHEBATANNYA melentur badan mengikut apa juga bentuk pergerakan sememangnya mengagumkan. Gerakan yang dilakukan oleh tubuh comel ini, dengan rambut disanggul kemas dan kostum yang dihias dengan labuci berwarna warni, mempersonakan mata yang memandangkan.
Usianya baru menjangkau lapan tahun, namun kehebatannya dalam mempamerkan aksi menarik dalam seni gimrama membuatkan penulis sendiri tertanya-tanya bagaimana kanak-kanak semuda itu boleh melakukannya.
Pada zahirnya, Izzah Amzan, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Universiti (SRKTU), Sri Kembangan, Selangor ini, lincah dan keletah seperti kanak-kanak seusianya.
Apa yang membezakan Izzah dengan kanak-kanak lain ialah, dia merupakan pemegang pingat emas untuk keempat-empat acara yang dipertandingkan dalam kategori gimrama anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS).
Kehebatan Izzah dalam sukan gimrama memang tidak perlu disangkal lagi. Dia telah menumpaskan 18 lagi peserta yang majoritinya dari kaum Cina dalam kejohanan yang dianjurkan baru-baru ini.
Di bawah penyeliaan gurunya, Nurwati Ab. Rahim, Izzah mengikuti latihan intensif dan bersistematik sebelum menyertai kejohanan MSSS.
Menurut Nurwati, ini merupakan kali kedua Izzah menyertai kejohanan besar di peringkat sekolah itu. Dia menyertai acara tanpa alat, bola, tali, gelung dan reben dan menjadi johan untuk setiap kategori tersebut.
“Kategori yang dinamakan Little Gymnas ini disertai oleh ahli gimrama yang berusia lapan tahun ke bawah. Ia terbuka untuk semua kanak-kanak yang bersekolah di Selangor.
“Setelah mengikuti latihan intensif dan disiplin yang ditunjukkan oleh Izzah, usahanya memang berbaloi. Saya juga dapati bukannya laluan yang mudah untuk bergelar johan terutama dalam sukan yang seringkali dikaitkan dengan yuran dan kos yang tinggi ini,” jelas Nurwati ketika ditemui di SRKTU, baru-baru ini.
Menceritakan tentang perihal anak muridnya, Nurwati berkata, Izzah seorang pelajar yang lincah dan aktif. Malah pencapaiannya dalam bidang akademik juga tidak mengecewakan.
“Izzah sememangnya seorang pelajar yang amat berdisiplin. Setiap hari dia akan bangun seawal jam lima pagi dan akan mengingatkan saya untuk menghantarnya ke tempat latihan,” katanya.
Dari aspek pemakanan pula, Izzah tidak sewenang-wenangnya menjamah makanan kerana ingin menjaga bentuk tubuhnya agar tidak kelihatan gemuk.
“Adakalanya selepas pertandingan saya mahu belanja dia makan, tetapi biasanya dia menolak kerana disiplin yang kuat dalam dirinya,” ujar Nurwati yang secara peribadi turut kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak muridnya itu.
Selaku guru bertugas, memang menjadi tanggungjawabnya untuk membawa Izzah ke tempat latihan dan memastikan anak muridnya itu mendapat latihan intensif terutama sebelum perlawanan berlangsung.
Izzah yang mengikuti latihan di bawah jurulatih Inggeris berpengalaman, Elena, bernaung di bawah kelab gimnastik yang diberi nama Angel. Penglibatan awal Izzah bermula sejak usianya tujuh tahun.
Ketika itu kelab Angel mengadakan uji bakat di sekolah-sekolah untuk memilih pelajar yang dilihat berpotensi dalam bidang sukan tersebut.
Menepati kriteria yang dicari oleh penganjur, Izzah telah dipilih mengikuti latihan dan pencapaiannya yang konsisten melayakkan dia ditaja oleh Majlis Sukan Nasional (MSN).
“Walaupun jurulatihnya amat tegas dan berdisiplin, namun Izzah tidak pernah merungut malah dia sendiri tahu mendisiplinkan diri tanpa disuruh oleh ibunya atau saya.
“Melalui cerita ibunya, ruang tamu di rumah Izzah dikosongkan daripada sebarang perabot dan hanya dilengkapi sebuah cermin besar bersaiz dinding semata-mata untuk Izzah mengadakan latihannya di rumah.
“Tahun lepas, Izzah menyertai kejohanan antara kelab gimrama di Selangor dan selepas MSSS ini Izzah akan menyertai kejohanan Sirkit Antarabangsa pula,” jelas guru yang manis mengenakan baju kurung dari fabrik sutera.
Nurwati berkata, beliau menggalakkan ibu bapa yang melihat potensi sukan atau apa saja bakat yang ada pada anak mereka untuk diketengahkan.
“Ibu bapa mesti berjumpa dengan guru dan memberi tahu bahawa anak mereka berbakat dalam sesuatu acara atau apa saja.
“Dengan cara ini sekolah berpeluang menilai dan menggilap bakat mereka hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Ibu bapa perlu ingat, kebolehan anak-anak pelbagai, dan jika kurang menyerlah dari aspek akademik, sekurang-kurangnya ada satu kebolehan yang boleh digunakan untuk kemajuan diri pada masa hadapan,” ujarnya menutup bicara.
BIODATA
Nama penuh : Izzah Amzan
Nama panggilan : Jijah
Umur : 8 tahun
Kedudukan dalam adik beradik : Bongsu dari tiga beradik. Abang, Izzat, 12 dan kakak Iffah, 11.
Asal : Kuala Lumpur
Cita-cita : Doktor
Hobi : Menaiki basikal
Pertandingan pernah disertai :
* Kejohanan Antara Kelab Selangor
* Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS)
* (Johan keseluruhan kategori Little Gymnas, pingat emas dalam acara tanpa alat, bola, tali, reben)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0313&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz2PStvVcv7
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment